TikTok ketika serbuan: JIPS diarah siasat ASP wanita

Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) diarah menyiasat mengenai video yang tular di media sosial mengenai siaran langsung oleh seorang pegawai polis wanita yang didakwa dilakukan semasa serbuan di sebuah pusat hiburan.

Arahan itu dikeluarkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, yang turut mengesahkan pihaknya kini sedang meneliti bila dan di mana siaran langsung itu dilakukan.

“Saya sudah arahkan JIPS untuk mengambil tindakan terhadap pegawai terbabit termasuk memanggilnya bagi mendapatkan kenyataan berhubung tindakannya membuat siaran langsung semasa operasi itu.

“Kita juga ingin mengetahui motif dan tujuan sebenarnya membuat rakaman menerusi akaun TikTok itu,” katanya. Terdahulu, seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa melakukan serbuan.

Video berdurasi seminit 38 saat itu dipercayai semasa menjalankan beberapa pemeriksaan ke atas sebuah pusat hiburan bersama pegawai dan anggota lain.

Razarudin berkata, satu arahan berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya menggunakan aplikasi TikTok akan dikeluarkan JIPS hari ini.

“JIPS tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya benar pegawai terbabit mempunyai motif merakam video berkenaan semata-mata mengumpulkan laman sosial akaun TikTok miliknya,” katanya.

Pada Ogos 2020, PDRM pernah mengeluarkan arahan melarang pegawai kanan dan pegawai rendahnya memuat naik perkongsian peribadi semasa berpakaian seragam di platform media sosial.

Dalam larangan berkenaan, Bukit Aman memandang serius tindakan pegawai dan anggotanya merakam, memuat naik video tarian dan lain-lain aksi semasa berpakaian seragam menerusi platform media sosial seperti Youtube, Whatsapp, TikTok dan aplikasi lain bagi tujuan menarik perhatian dan mendapat tontonan yang tinggi oleh masyarakat dan netizen.

Dalam perkara yang sama, tujuan larangan itu dikeluarkan bagi mengelak isu persepsi negatif dan mengundang pelbagai kritikan yang boleh menjatuhkan imej PDRM.

Tabiat atau aktiviti memuat naik video tidak wajar dilakukan pegawai atau anggota polis semasa berpakaian seragam dalam waktu bertugas atau selepas bertugas kerana pakaian berkenaan adalah kebanggaan pasukan dan haruslah digunakan mengikut peraturan yang ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here