4 pengunjung konsert Pinkfish maut kerana ekstasi!

Kuala Lumpur, Jan-
Siasatan awal polis ke atas empat pengunjung konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang yang maut selepas menghadiri konsert itu mendapati kesemua mereka dipercayai mengambil pil dadah jenis ekstasi.

Namun Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih menunggu laporan analisis toksikologi untuk mengesahkan perkara itu termasuk punca kematian sebenar.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, polis membuka empat kertas siasatan membabitkan kes mati mengejut (SDR) itu bagi mengenal pasti jika wujud sebarang unsur jenayah atau keracunan.

“Sehingga ini, kita sudah merakam keterangan enam individu dan beberapa pihak lagi termasuk penganjur konsert dan rakan-rakan mangsa akan dipanggil dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Hussein turut memaklumkan, setakat Khamis, polis menerima enam laporan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL), yang menerima tujuh pesakit yang menunjukkan simptom sama akibat dipercayai mengambil ekstasi termasuk empat mangsa yang meninggal dunia.

Menurutnya, dua daripada mereka sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala seorang lagi sudah dicaj dari hospital.

Berdasarkan siasatan awal, beliau memberitahu, ketujuh-tujuh mereka bagaimanapun tidak hadir bersama-sama, sebaliknya datang secara berasingan sama ada bersama kawan atau ahli keluarga masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here