Kuala Lumpur,Mac-
Langkah membenarkan pencarum untuk terus mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka sebelum tiba masanya, seolah-olah mendera dan menghukum kumpulan berkenaan apabila mereka bersara kelak.
Perdana Menteri berkata, statistik menunjukkan majoriti pencarum daripada kalangan kaum Melayu mempunyai simpanan yang sangat kecil, dan mereka akan berhadapan masalah apabila mencapai usia persaraan.
Beliau berkata, KWSP memang mempunyai pertimbangan untuk memberi pengecualian kepada kes tertentu, namun ruang itu tidak boleh dibuka terlalu luas demi masa hadapan kumpulan pencarum itu sendiri.
“Prinsip yang kita pegang puluhan tahun, ketika saya menjadi Menteri Kewangan dahulu, KWSP ini adalah simpanan untuk hari tua … jadi sementara saya faham keluhan Yang Berhormat. Ada kalanya pengecualian diberikan dan kelonggaran… dan ini diberikan dan banyak kes rayuan khusus diberi pertimbangan khas, terutama dalam keuzuran dan sebagainya.
“Tapi jika buka ruang yang terlalu luas, kita akan ‘menghukum’ mereka apabila mereka tua dan bersara. Jadi kerajaan kena seimbangkan antara selesaikan masalah mendesak segera, dan ‘menghukum’ dan ‘mendera’ dalam keadaan mereka tiada upaya lain,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang mahu mengetahui sekiranya kerajaan bercadang untuk membenarkan kumpulan pencarum yang mengalami masalah kewangan mendesak untuk mengeluarkan wang simpanan mereka.




















