Seremban, Ogos-
Kanak-kanak berusia enam tahun cedera di beberapa bahagian badan selepas dilanggar van sekolah yang menghantarnya di Jalan Mantau Indah 3/4, Taman Mantau Indah 3, di sini, pagi Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, ketika kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa dikatakan berjalan di hadapan van berkenaan sebelum dilanggar.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu van sekolah jenis Kia Pregio itu dipandu seorang wanita berusia 38 tahun dalam perjalanan dari Tabika Perpaduan Taman Mantau Indah.
Jelas beliau, apabila sampai di lokasi, mangsa dikatakan turun dari van itu dan berjalan di hadapan van untuk melintas ke rumah pengasuh.
Mohamad Hatta berkata, ketika mangsa berada di hadapan van, pemandu van dipercayai bergerak dan terlanggar mangsa menyebabkan mangsa terjatuh.
“Akibat kemalangan itu, mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan, tangan dan kaki,” katanya.




















