Polis buru penjenayah ‘jual’ nama TMJ

Johor Bahru: Polis Johor memburu tiga individu tempatan dipercayai terbabit dengan kes pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing menyalahguna nama Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya menerima laporan polis dibuat Ketua Unit Media, Pejabat Komunikasi Keluarga Diraja Johor, jam 7 malam tadi,

Katanya, ia berkaitan penipuan membabitkan TMJ mengenai satu dokumen ‘Letter of Undertaking’ pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat (USD) kepada ringgit yang dipercayai palsu. Dokumen terbabit didapati dikeluarkan dan ditandatangani seorang wanita tempatan bergelar Datuk Seri mendakwa mendapat mandat daripada TMJ untuk menjalankan urusan tukaran mata wang asing itu kepada ringgit bernilai USD 200 bilion sehingga USD 5 trilion.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan dua lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu. Urusan itu membabitkan penggunaan akaun bank atas nama seorang lelaki tempatan, selain semakan ke atas seorang lagi lelaki yang bertindak sebagai proksi adalah seorang peguam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda. Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang kononnya mempunyai hubungan baik dengan pihak Istana Diraja Johor tanpa usul periksa bagi mengelakkan penipuan sebegini, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here