Pelancongan Domestik Bantu Pulih Ekonomi Negara

Kebenaran sektor pelancongan domestik beroperasi mulai Rabu ini tepat pada masanya untuk membantu negara mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri, dalam kenyataan selepas perutusan khas Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, berkata, pengumuman itu selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri.

“Langkah ini amat bertepatan pada masanya kerana sektor pelancongan berupaya membantu negara mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi. Ini adalah kerana sektor pelancongan adalah sektor yang melibatkan subsektor ekonomi lain seperti perhotelan, inap desa, pengangkutan, pengusaha makanan di restoran dan gerai serta pemandu pelancong.

“Namun, pada masa sama, aktiviti ini perlu dijalankan dengan rasa tanggungjawab dan mengamalkan kebiasaan baharu serta mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan,” katanya seperti dilapor Bernama.

Menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di saluran televisyen tempatan hari ini, kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan domestik namun pintu sempadan negara masih lagi ditutup semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga 31 Ogos ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here