Pihak Korporat Diseru Bersama Kerajaan Jayakan Anjung Kasih

ALOR SETAR –
Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyambut baik penyertaan dan tajaan pihak korporat dalam meningkatkan keupayaan projek Anjung Kasih iaitu kemudahan yang disediakan kepada keluarga pesakit yang menjalani rawatan di hospital.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata selain untuk proses naik taraf dan penyelenggaraan Anjung Kasih sedia ada, dana dan sumbangan itu juga adalah bagi mewujudkan kemudahan itu di hospital yang belum memilikinya.Katanya, kos penyediaan kemudahan itu berjumlah antara RM800,000 hingga RM1 juta.

“Tajaan korporat banyak membantu dalam menaik taraf dan menambah kemudahan yang diperlukan di pusat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Anjung Kasih baharu yang beroperasi sejak minggu lepas di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Kini terdapat 12 Anjung Kasih di hospital utama di seluruh negara, manakala empat lagi dalam pembinaan yang dijangka siap selewat-lewatnya tahun hadapan.

Dalam pada itu, katanya, sejak dilaksanakan pada 2006, Anjung Kasih YKN telah memberi manfaat kepada 75,299 penghuni dengan kemudahan sebanyak 620 katil.

Beliau berkata, untuk mendapatkan kemudahan itu, keluarga pesakit akan dipilih mengikut keutamaan sebelum mendaftar masuk ke Anjung Kasih YKN.

“Kita hanya mengambil sedikit deposit iaitu RM20 untuk asrama dan RM30 untuk bilik keluarga,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here