Terminal bas akan laksana sistem beli tiket tanpa tunai

KUALA LUMPUR –

Kementerian Pengangkutan sedang berusaha untuk memastikan semua terminal pengangkutan bas awam di seluruh negara dapat melaksanakan sistem pembelian tiket menggunakan e-dompet, sekali gus menyokong agenda ‘cashless society’ atau masyarakat tanpa tunai yang didukung kerajaan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata bagaimanapun, usaha itu akan dilaksanakan secara berperingkat memandangkan terdapat terminal yang masih belum melaksanakan sistem pembelian tiket secara berpusat (CTS).

“Kalau boleh kita mahu semua (terminal guna sistem tanpa tunai) tapi kita kena lihat juga kepada kemudahan yang ada dan keadaan di terminal, jadi yang belum ada kemudahan CTS mungkin sukar untuk kita bagi satu tempoh masa,” katanya pada sidang media selepas meninjau penumpang yang pulang ke kampung sempena perayaan Tahun Baru Cina di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Kamarudin Jaffar.

Buat masa ini, antara terminal yang mengamalkan pembelian tiket tanpa tunai adalah Terminal Amanjaya di Ipoh, Perak, serta TBS yang baru melancarkan sistem pembelian menggunakan e-dompet hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here