KUALA LUMPUR –
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan peniaga B.Subramaniam yang menghadapi pertuduhan memberi sokongan berkaitan kumpulan pengganas LTTE, supaya dibebaskan dengan jaminan sehingga kesnya selesai.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan kesalahan di bawah Seksyen 130J Kanun Keseksaan berkaitan keganasan merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin menurut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan pemohon bahawa Seksyen 13 SOSMA adalah tidak berperlembagaan, oleh itu permohonan pemohon ditolak,” katanya.
Pada Disember tahun lepas, Subramaniam, 57, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook atas nama ‘US SUBRA SUBRAMANIAM’.