SHAH ALAM –
Dua nelayan warga asing maut manakala dua lagi mengalami sesak nafas dipercayai terhidu gas ammonia dalam sebuah bot pukat tunda di jeti nelayan, Jalan Bagan 4, Sungai Besar, kira-kira 83.4km, dari sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Agus Salim Mohd Alias, berkata dalam kejadian jam 2.50 petang itu, kesemua mangsa lelaki terbabit dipercayai sedang memunggah ikan daripada dalam bot ke pelantar jeti berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, berlaku kebocoran gas disyaki daripada peti simpanan ikan di dalam bot tersebut menyebabkan kesemua mangsa terhidunya lalu dua daripadanya pengsan manakala dua lagi meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal polis mendapati, gas berkenaan dipercayai digunakan untuk proses sejuk beku ikan, namun belum dikenal pasti jenisnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor memberitahu, gas beracun yang bocor daripada bot tunda berkenaan disyaki jenis ammonia.