Pesawat khas misi kedua membawa pulang rakyat Malaysia, pasangan dan anak-anak mereka dari Wuhan, China, susulan wabak COVID-19, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal hari ini.
Pesawat AirAsia dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia itu, tiba pada jam 6.50 pagi.
Seramai 66 orang dibawa pulang melalui penerbangan khas itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe pada jam 1.45 pagi ini.
Semalam, pesawat khas itu berlepas ke Wuhan di wilayah Hubei dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 5.58 petang.
Penerbangan itu turut membawa 12 kru, sembilan wakil agensi kerajaan dari Malaysia serta dua pegawai dari Kedutaan Malaysia dari Beijing, menjadikan jumlah keseluruhan yang menaiki pesawat tersebut ialah 89 orang.