PUTRAJAYA –
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menekankan mengenai kepentingan pelaksanaan perbelanjaan secara lebih berhemat dan mengurangkan ketirisan bagi memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.
Pada sesi taklimat mengenai kedudukan ekonomi dan fiskal negara yang dibentangkan kepada beliau di sini semalam, Perdana Menteri kelapan itu turut menegaskan supaya kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan diberi perhatian manakala setiap projek yang akan dilaksanakan diperhalusi agar tidak membebankan komitmen kewangan serta hutang kerajaan.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Muhyiddin juga berpandangan bahawa peruntukan Belanjawan tahunan seharusnya mampu mendatangkan pulangan besar kepada pertumbuhan ekonomi, menjana pendapatan rakyat dan negara.
“Oleh yang demikian, keberkesanan program dan projek kerajaan perlu dipertingkatkan lagi supaya setiap wang awam yang dibelanjakan dapat mendatangkan manfaat sepenuhnya kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat,” tegas beliau.
Sesi selama kira-kira dua jam di Perdana Putra di sini, dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen; Ketua Ekonomi, Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Kementerian Kewangan, Dr V. Sivabalasingam dan Pengarah Belanjawan Negara, Johan Mahmood Merican.