GEORGE TOWN –
Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang didalangi empat ahli keluarga selepas menahan 11 individu dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 217 kilogram (kg) bernilai RM5.2 juta dalam serbuan serentak di empat negeri pada Ahad.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata pihaknya menjalankan Ops Falcon bermula pukul 12.30 tengah hari dan menyerbu lapan lokasi berasingan di sekitar Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor sebelum menahan pasangan suami isteri, anak lelaki mereka dan adik lelaki kepada lelaki itu serta seorang lelaki warga Thailand berusia 21 hingga 53 tahun.
“Selain mereka, polis turut menahan enam lagi lelaki dalam serbuan serentak selama tujuh jam itu membabitkan rumah, tepi jalan, premis perniagaan dan stor di empat negeri tersebut hasil risikan serta intipan sejak sebulan lepas.
“Polis merampas pelbagai jenis dadah iaitu 104kg ganja, 60kg syabu, 46kg heroin nombor empat dan ketamin sebanyak tujuh kilogram, yang boleh digunakan oleh hampir sejuta penagih dadah jika terlepas ke pasaran. Dadah yang dirampas ini tidak ditanam dan diproses dalam negara sebaliknya dibawa masuk dari negara jiran sebelum dibungkus semula dan diedar untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.