Harap lebih ramai akan patuh MCO

KUALA LUMPUR: Hari ini merupakan hari keempat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO). Orang ramai diharap terus berada di rumah masing-masing bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Kadar pematuhan semakin baik selepas agensi penguatkuasaan terutama polis mengadakan sekatan jalan raya dan memberi nasihat kepada orang ramai secara berterusan setiap hari selepas hari pertama pelaksanaan perintah itu Rabu lepas yang menyaksikan ada pihak tidak endah dengan arahan itu.

Keadaan ibu kota Kuala Lumpur yang lengang semalam dan perkara yang sama boleh dilihat di bandar-bandar utama seluruh negara, menandakan rakyat mula mengambil berat arahan itu.

Selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil di televisyen merayu orang ramai untuk mematuhi perintah itu dengan “duduk diam-diam di rumah”, semalam giliran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pula menitahkan rakyat Malaysia untuk sama-sama berperanan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Seri Paduka turut mengajak orang ramai membatalkan hasrat balik kampung serta sentiasa mengamalkan kebersihan diri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here