Penghuni Selangor Mansion, Malayan Mansion tidak perlu dipindahkan

PUTRAJAYA: Tiada keperluan untuk memindahkan penghuni bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan pengesanan kes secara aktif di bangunan berkepadatan tinggi itu.

“Kita tidak perlu memindahkan mereka kecuali mereka positif barulah kita pindahkan mereka, tempatkan mereka di hospital,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata KKM sedang giat mengesan kontak rapat yang melibatkan 15 kes positif jangkitan COVID-19 di kedua-dua bangunan itu.

“Sekarang ini kita sedang mengesan mereka dan berharap menemui mereka secepat mungkin. Jika kita dapat mengenal pasti mereka, kita akan jalankan ujian, asingkan dan rawat mereka…. proses sedang berjalan,” katanya.

Selasa lepas, kerajaan memutuskan pelaksanaan arahan keempat PKPD di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India susulan terdapat 15 kes positif COVID-19 di kedua-dua bangunan itu.

Media melaporkan PKPD di kawasan itu membabitkan 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman serta premis perniagaan di dua bangunan terbabit, yang 97 peratus penghuninya adalah warga asing.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata kerajaan akan memaklumkan kepada kedutaan asing sekiranya warganegara mereka dijangkiti COVID-19 di negara ini.

–BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here