Perikatan Nasional perlu segera didaftar?

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan secara mengejut bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang runtuh pada 24 Februari lalu.
Proses pengambilalihan kerajaan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mendapat sokongan ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain.

Sebagai satu gabungan majoriti anggota Dewan Rakyat untuk membentuk blok kerajaan yang sah. Ia satu kompromi bukan sahaja ketua-ketua parti tetapi juga gabungan prinsip sesama anggota Dewan Rakyat yang bertekad membentuk kerajaan baharu selepas PH berkuasa selama 22 bulan.

Buat masa ini, gabungan PN dalam Dewan Rakyat itu boleh dirujuk sebagai ‘blok kerajaan’ kerana belum termaktub secara rasmi.

Setakat ini, PN ada 113 kerusi Dewan Rakyat. Jawatan di Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak membawa impak langsung dalam kekuatan kerajaan di peringkat Pusat kerana kekuatan blok kerajaan adalah dikira daripada sokongan kalangan ahli Dewan Rakyat.

Istilah kerajaan dua pertiga dengan parti yang kukuh sudah kelihatan sukar dicapai akibat fenomena persepsi rakyat yang pelbagai susulan ledakan teknologi komunikasi semasa.

PN harus segera dibentuk dengan pentadbiran yang tersusun dan didaftarkan secara sah jika semua pihak dalam entiti politik itu serius hendak membentuk kerajaan yang mantap.
Dengan pelbagai pendirian yang berbeza, apatah lagi wujudnya rasa tidak puas hati antara sesama tokoh dalam parti berlainan, perkara itu akan merumitkan situasi.

Dalam hal ini, dengan wujudnya gabungan dalam gabungan, maka wajarlah PN ditubuhkan secara rasmi dan disahkan segera. Jika benar-benar hendak muafakat, eloklah semua rakan dimasukkan sekali dalam satu platform dan sama-sama bergerak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here