Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifah mendakwa wujud usaha untuk mengangkat Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor bagi menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari.
Armand yang memuat naik kenyataannya kepada sebuah media di Instagram mengakui menerima maklumat tersebut daripada sumber dalaman PKR.
Jelasnya, usaha yang dinamakan sebagai ‘Langkah Rawang’ itu berkemungkinan besar akan dilakukan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
‘Langkah Rawang’ akan menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chua Wei Kiat terpaksa melepaskan kerusi kawasan itu kepada Anwar.
“Persoalannya, apa pendirian Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berhubung ‘Langkah Rawang’ ini.
“Bagaimana pula dengan kesediaan Adun Rawang Chua Wei Kiat untuk melepaskan jawatan yang baru disandangnya selama 24 bulan untuk memberi ruang kepada Anwar bertanding di sana,” katanya.