Kuala Nerus, Nov 17.
Sebanyak 5,648 kawasan berisiko banjir dikenal pasti di seluruh negara pada musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM) Aminurrahim Mohamed berkata, sebanyak 1,066 lokasi dikenal pasti di Sarawak; 798 lokasi di Sabah;750 di Pahang; 745 di Johor; 617 di Kelantan; 286 di Perak; dan 271 di Selangor.Kawasan lain termasuk 260 lokasi di Kedah; Terengganu (258 lokasi); Pulau Pinang (241 lokasi); Melaka (124 lokasi); Negeri Sembilan (120 lokasi); Kuala Lumpur (73 lokasi); Perlis (22 lokasi); dan Labuan (17 lokasi).
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk di kawasan terlibat supaya sentiasa berwaspada dan menyediakan semua dokumen penting dan barang kecemasan seperti ubat-ubatan, lampu suluh dan pakaian lebih awal untuk dibawa sekiranya berlaku banjir atau bencana lain.
“Setiap ketua isi rumah dinasihatkan menyediakan beg ‘Ready To Go’ yang di dalamnya dah disimpan segala dokumen penting dan barang keperluan kecemasan. Jika berlaku bencana, terus ambil beg tersebut untuk ke tempat lebih selamat.
“Selain itu, tolong patuhi nasihat dan beri kerjasama kepada anggota keselamatan kerana mereka bertugas untuk menyelamatkan nyawa anda,” katanya selepas Majlis Penganugerahan Watikah Pegawai Bersekutu, Pingat, Riben Separa Perkhidmatan serta Sijil APM kepada 83 penerima malam tadi.