WHO gesa Indonesia henti rawatan guna ubat malaria

INDONESIA digesa oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menghentikan penggunaan ubat malaria sebagai rawatan COVID-19 kerana bimbang dengan keselamatan ubat tersebut.

Lapor Reuters, Indonesia yang merupakan antara negara paling giat menyokong penggunaan ubat malaria, telah menerima surat notis daripada WHO berhubung dua ubat malaria, chloroquine dan hydroxchloroquine bagi merawat koronavirus.
Namun, kata seorang sumber yang tidak ingin dinamakan, notis tersebut masih belum dimaklumkan kepada umum dan sebaliknya hanya telah disebarkan kepada petugas kesihatan.

Erlina Burhan, seorang doktor yang bantu menyediakan garis panduan rawatan COVID-19 sebagai ahli Persatuan Pakar Pulmonologi Indonesia, mengesahkan bahawa persatuan itu turut menerima nasihat baharu daripada WHO berhubung pemberhentian ubat tersebut.
“Kami telah membincangkan isu-isu berkenaan dan masih ada lagi pertikaian. Kami masih tidak capai kata sepakat,” kata Erlina kepada Reuters.

Indonesia telah meningkatkan pengeluaran ubat berkenaan sejak Mac termasuk memberi lebih 20 lesen kepada pengeluar tempatan.

Minggu lalu, laporan komprehensif oleh jurnal perubatan Lancet mendapati pesakit koronavirus yang dirawat menggunakan ubat-ubat malaria itu lebih berisiko untuk mengalami kesan pada denyutan jantung serta risiko kematian lebih tinggi.

Pada Isnin, WHO umum akan menggantungkan penggunaan hydroxychloroquine bagi pesakit COVID-19 dalam ujian klinikal global.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis menegaskan bahawa Malaysia masih lagi menggunakan ubat tersebut bagi merawat pesakit COVID-19, namun secara berhati-hati.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here