Thailand bersetuju dengan pelan untuk melancarkan pelancongan domestik bulan depan dengan memberi baucar bernilai 2,000 (RM270) hingga 3,000 bath (RM405) kepada empat juta orang dan perjalanan percuma kepada 12.2 juta kakitangan kesihatannya.
Kempen berkenaan, menurut Bangkok Post bertujuan untuk merancakkan kegiatan ekonomi dan memulihkan sektor pelancongan, katanya memetik Menteri Pelancongan dan Sukan Phiphat Ratchakitprakarn.
Sekitar 38 juta pelancong berkunjung ke negara itu pada tahun lalu.
Sektor ekonomi Thailand, seperti negara lain di seluruh dunia, terjejas teruk disebabkan penularan Covid-19.
Setakat pagi ini 3,083 kes jangkitan dicatatkan dengan 58 kematian di Thailand.
Menurut menteri berkenaan, Kementerian Kewangan bersetuju dengan skim yang dikemukakan oleh Kementerian Pelancongan dan Sukan.
Di bawah promosi itu, sejuta baucar pelancong akan diberi kepada setiap empat wilayah negara itu atas dasar siapa dulu dia dapat.
Bank Krunghkai akan mewujudkan satu aplikasi bagi membantu pendaftaran dan peruntukan baucar yang akan disediakan antara Julai hingga Oktober tahun ini.
Sementara kerajaan Thailand telah membuka lebih banyak perniagaan dan aktiviti di bawah fasa ketiga dalam usahanya melonggarkan penguncian, sektor pelancongan terus tidak banyak bergerak kerana banyak pelancong masih keberatan melakukan perjalanan.