Tiga pegawai polis didakwa pada Rabu (3 Jun) atas peranan mereka dalam kes pembunuhan seorang lelaki berkulit hitam, yang mencetuskan bantahan besar-besaran di seluruh Amerika Syarikat, dengan tuduhan-tuduhan lebih serius dikenakan ke atas suspek utama.
Pendakwa Minnesota pada Jumaat lalu mengumumkan tuduhan membunuh dikenakan terhadap Derek Chauvin, 44, iaitu pegawai polis kulit putih yang melutut pada bahagian leher mendiang George Floyd selama hampir sembilan minit.
Menurut pihak pendakwa, mereka akan mengusulkan lebih banyak tuduhan dan ia akan membawa hukuman yang lebih berat.
“Saya percaya bukti yang ada membolehkan tuduhan lebih berat dikenakan.
“Kami berada di sini hari ini kerana George Floyd tidak berada bersama kami. Beliau patut berada di sini hari ini dan masih bernyawa. Malangnya ia tidak berlaku,” kata ketua peguam Minnesota, Keith Ellison.
Tiga lagi rakan sekerja Chauvin yang terlibat dengan insiden pada 25 Mei turut ditahan atas tuduhan bersubahat.
Tou Thao, 34, J Alexander Kueng, 26 dan Thomas Lane, 37 didakwa dengan tuduhan membantu dan bersubahat untuk melakukan pembunuhan.
Penangkapan kesemua pegawai berkenaan didorong oleh desakan orang ramai yang mengadakan bantahan besar-besaran di seluruh negara sejak sembilan hari lalu bagi mengutuk kekejaman polis dan menuntut keadilan bagi membanteras isu perkauman.