Pengangguran di Johor 3.2 peratus

Survei Tenaga Buruh Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan kadar pengangguran di Johor pada suku pertama tahun ini mencecah 3.2 peratus.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata ia mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus berbanding suku keempat tahun 2019.

“Menurut Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran pada 2020 boleh mencecah sehingga 5.5 peratus.

“Untuk rekod, kadar pengangguran tertinggi yang pernah direkodkan Malaysia ialah pada tahun 1986 iaitu 7.4 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adun Benut itu menambah, bagi tahun 2020 kadar pengangguran Johor diunjurkan sama dengan Malaysia iaitu dalam lingkungan 3.5 hingga 5.5 peratus berikutan impak penularan pandemik COVID-19.

“Oleh itu, kerajaan negeri Johor mempunyai pelbagai perancangan dan strategi untuk membangun dan memulihkan semula ekonomi Johor yang terjejas akibat pandemik itu.

“Kerajaan negeri Johor juga akan memberi tumpuan dalam bidang ekonomi digital. Ini kerana ekonomi digital merupakan platform dan era baharu ekonomi masa depan.

“Ekonomi digital ini adalah sebahagian daripada normal baharu pasca COVID-19,” katanya lagi.

Tambah Hasni, kerajaan negeri akan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerana katanya semua urusan kini berada di hujung jari.

“Sama ada golongan yang berumur, pertengahan, remaja dan muda, semuanya mengadaptasikan diri dengan platform ekonomi digital.

“Bayangkan, hendak membeli barangan, tidak perlu lagi ke pusat beli-belah, hanya pesan menerusi aplikasi dalam talian dan barangan terus dihantar ke muka pintu.

“Inilah antara kelebihan ekonomi digital. Semua urusan menjadi lebih mudah, efisien dan pantas,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here