Lokman langgar SOP berkumpul di kedai makan

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam dilihat ingkar serta tidak patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Dalam aktiviti yang dikongsikannya di Facebook, Lokman didapati duduk berkumpul tanpa menjaga jarak di Kedai Mak Cik Noriah di Sungai Kantan, Kajang di Selangor.

Dia yang sebelum ini mengkritik Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mendedahkan rahsia Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional Umno duduk rapat di satu meja dengan empat individu lain.

Dalam satu gambar lain di lokasi sama, Lokman kemudiannya dilihat duduk bersama sekumpulan kanak-kanak dan wanita yang dipercayai ahli keluarganya.

Lokman yang dibuang daripada menjadi ahli Umno pada Februari lalu dalam  masa sama mengiklankan menu makanan untuk sarapan yang ada di kedai itu.

Dia turut menyenaraikan lapan menu yang dianggapnya ‘dijamin power‘ antaranya sambal sotong dan rendang daging.

Ekoran itu, terdapat warganet meninggalkan komentar mengecam tindakan Lokman yang mengabaikan SOP memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Mask mana bro? Dalam kocek ke? Duduk jarak-jarak sikit,” kata Salmah Ismail.

Untuk rekod, polis sebelum ini pernah menahan ramai individu termasuk pelanggan kedai makan yang didapati ingkar serta tidak patuh kepada PKPP.

Kesalahan berkumpul tanpa mengamalkan penjarakan sosial boleh dikenakan tindakan kompaun RM1,000 mengikut Peraturan 7 Jadual Aktiviti Terlarang Bil 11(No 7) 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here