Lebih 100,000 saman trafik tertunggak sejak 2016 milik warga Singapura: Bukit Aman

Sebanyak 108,757 saman tertunggak direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan pelbagai kesalahan trafik dilakukan oleh warga Singapura bagi tempoh 2016 hingga tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata daripada jumlah itu sebanyak 21,452 saman trafik belum dijelaskan pada 2016, sebanyak 19,275 saman (2017) dan 30,946 saman (2018). Pada 2019, sebanyak 24,846 saman tertunggak direkodkan, sebanyak 12,128 saman (2020) dan 110 saman (2021).

Saman yang telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas antaranya memandu melebihi had laju, memotong barisan, mengabaikan isyarat lalu lintas dan tidak memakai tali pinggang keledar, penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan atau spesifikasi, terlibat kemalangan jalan raya, halangan lalu lintas serta kesalahan lampu brek dan sebagainya.

Warga Singapura yang mempunyai saman tertunggak dan telah dikeluarkan waran tangkap boleh dihalang untuk memasuki atau keluar dari negara ini dan pesalah trafik berkenaan juga boleh ditahan dan dituduh di mahkamah dalam tempoh segera, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menyangkal dakwaan kononnya berlaku kelemahan penguatkuasaan terhadap warga republik itu dan menegaskan JSPT sentiasa mengadakan Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pesalah trafik.

Saman tertunggak ini juga terkait dengan kegagalan untuk menyerahkan notis saman kepada pesalah trafik kerana tidak mempunyai alamat bagi membolehkan saman berkenaan diposkan kepada mereka. Terdapat juga kemungkinan kenderaan disaman sudah dilupuskan kerana sudah cukup tempoh lima tahun berdasarkan undang-undang negara itu.

PDRM mengalu-alukan pelaksanaan pendaftaran kenderaan warga Singapura oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui sistem kutipan Caj Jalan (RC) dan rekod Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang berkuat kuasa di pintu masuk sempadan negara tidak lama lagi, katanya. Mat Kasim berkata berdasarkan sistem berkenaan, ia membolehkan polis mendapatkan maklumat pesalah trafik bagi tujuan menyerahkan notis saman.-Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here