Boleh Balik Kampung Mulai Rabu Ini, Tapi Perlu Patuh SOP

Pada sambutan Aidilfitri yang lalu, ramai perantau sayu, khususnya ketika mendengar lagu-lagu raya kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman, namun bermula Rabu ini, lagu ‘Balik Kampung’ dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad pastinya trending kerana pergerakan pulang ke destinasi yang didambakan itu dibenarkan.

Berita gembira itu dinyatakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam semasa mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini, menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir esok (Selasa), sekali gus menyaksikan larangan rentas negeri ditarik balik.

Kebenaran rentas negeri itu pastinya menamatkan kerinduan warga kota termasuk golongan bujang yang mahu pulang ke kampung dan menziarahi ibu bapa selepas “terpisah” hampir tiga bulan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB.

Pastinya, jumlah kenderaan di lebuh raya utama akan meningkat selepas Rabu ini, kerana orang ramai tidak perlu lagi “mencuba nasib” merentas negeri pulang ke kampung halaman. Majikan juga pasti akan menerima lambakan permohonan cuti daripada pekerja masing-masing.

Malah, sambutan Hari Raya Aidiladha yang dijangka pada 31 Julai ini pasti akan lebih meriah selepas perayaan dan ibadah korban turut dibenarkan, namun perkara itu masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here