COVID-19 : Putatan kini zon hijau

Sabah hari ini mencatat dua kes positif Covid-19 baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan kini sebanyak 353.

Statistik yang dimuat naik Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, sebentar tadi, menyaksikan dua kes baharu itu dicatatkan di daerah Tuaran.

Sementara itu, seorang lagi pesakit jangkitan wabak itu telah sembuh dan dibenarkan pulang, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh setakat ini sebanyak 338.

Ini bermakna jumlah kes Covid-19 aktif di Sabah meningkat satu kes menjadi 10 berbanding sembilan, semalam.

Bagaimanapun, jumlah daerah yang masih berada dalam zon kuning kerana mencatat kes aktif berkurangan menjadi lima daerah selepas Putatan kini dikategorikan sebagai zon hijau apabila tiada lagi mencatat kes aktif.

Lima daerah yang masih merekodkan kes Covid-19 aktif ialah Tuaran sebanyak tiga kes, Tawau, Kota Kinabalu dan Beaufort masing-masing dua kes manakala Penampang mencatat satu kes.

Dalam pada itu, tiada kematian dicatatkan di Sabah, hari ini, dengan jumlah korban akibat Covid-19 di negeri ini kekal lima kes iaitu tiga kes berlaku di Kota Kinabalu manakala Tawau dan Tambunan masing-masing satu kes.

 Sabah juga kini menjadi negeri ketujuh tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Kuala Lumpur yang mencatat sebanyak 2,393, Selangor (1,965), Negeri Sembilan (911), Johor (676), Sarawak (555) dan Pahang(363).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here