Sebarang aktiviti meliputi sektor ekonomi, sosial dan rekreasi di Selangor perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) digariskan Majlis Keselamatan Negara.
Dato’ Menteri Besar turut mengingatkan kepentingan mengimbas kod QR aplikasi SELangkah sebelum memasuki premis, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan.
“Kerajaan Negeri bertegas dan tidak teragak-agak menutup mana-mana premis atau kawasan berisiko jika gagal mematuhi arahan ditetapkan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata SOP sama turut digunapakai bagi pasar pagi, pasar terbuka, pasar malam dan bazaria yang dibuka berperingkat mulai 15 Jun, yang diselaraskan mengikut pihak berkuasa tempatan masing-masing.
Sementara itu, Amirudin berkata pihaknya membenarkan kelas muzik dan seni dibuka serta aktiviti pendakian dalam kumpulan tidak melebihi tiga orang.
Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dilaksanakan berkuat kuasa semalam hingga 31 Ogos ini dengan lebih banyak kelonggaran diberikan kepada orang ramai.