Sultan Selangor tidak berkenan tukar nama Universiti Putra Malaysia

Serdang, Nov 30-
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan cadangan untuk menukar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia.

Tegas baginda, cadangan tersebut tidak dirujuk kepadanya selaku Canselor UPM dan juga kepada Lembaga Pentadbir universiti terlebih dahulu.

“Baru-baru ini beta telah membaca satu kenyataan daripada seorang Menteri, Mohamad Sabu yang mencadangkan untuk menukarkan semula nama Universiti Putra Malaysia kepada Universiti Pertanian Malaysia.

“Di sini beta menegaskan bahawa nama Universiti Putra Malaysia ini hendaklah dikekalkan kerana beta telahpun melancarkan jenama Putra yang membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat’,” titah baginda ketika berkenan hadir menyempurnakan Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 (Sidang 2) Tahun 2024 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM pada Sabtu.

Baginda yang juga Tuanku Canselor UPM bertitah, nama Universiti Putra Malaysia ini juga adalah mengambil sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

“Beta ingin mengingatkan kepada mereka yang tidak memahami sejarah agar membaca dan meneliti fakta sejarah sebelum membuat apa-apa kenyataan terutama yang melibatkan Universiti Putra Malaysia,” titahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here