Buaya tembaga cuba sambar kaki pemancing ditangkap

Seekor buaya tembaga yang cuba menyambar kaki seorang pemancing di tebing sungai Ladang Sentosa, Tepoh di sini petang semalam berjaya ditangkap.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, tindakan menangkap buaya dengan anggaran berat 70 kilogram berkenaan bagi memastikan keselamatan orang ramai terutama pemancing di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan peralihan Monsun Timur Laut menyebabkan buaya itu keluar dari lokasinya untuk mencari habitat baharu.

Buaya itu diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, berlaku ribut petir di beberapa kawasan khususnya kawasan pedalaman. Jadi, unjuran daripada itu kebarangkalian reptilia itu keluar dari habitat asal untuk mencari kawasan yang baharu.

“Kita sedia maklum, apabila berlaku hujan lebat dalam tempoh yang pendek boleh mengakibatkan air bertakung dengan banyak yang menyebabkan habitat mereka terganggu,” katanya ketika ditemui di Pejabat APM Terengganu di sini hari ini.

Che Adam berkata, tangkapan buaya berukuran 2.3 meter itu merupakan tangkapan terbesar bagi APM Terengganu dalam tempoh tiga tahun.

“Buaya tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai termasuk kaki pancing diharap sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti di sungai mahupun di laut kerana selain berdepan dengan ancaman haiwan berbisa, kemungkinan mereka juga akan menghadapi risiko kepala air.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here