MSN Selangor memohon kepada MITI buka pusat sukan

Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan membuat permohonan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengenai kelulusan membuka pusat latihan.

Pemangku pengarah eksekutifnya berkata sekurang-kurangnya 30 pusat sukan diperlukan bagi membolehkan semua 830 atlet Sukan Malaysia (Sukma) negeri dapat memulakan latihan penuh.

“Setakat ini beberapa pusat latihan telah dibuka dan kita akan sentiasa berhubung dengan MITI. Kita berharap ia dapat dibuka secara berperingkat.

“Walaupun kerajaan memberikan kebenaran bagi kebanyakan aktiviti sukan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan tetapi kita kena patuh tatacara operasi piawai (SOP),” kata Mohamad Nizam Marjugi kepada SelangorKini.

Mohamad Nizam berharap kerajaan segera memberi kebenaran kepada atlet semua jenis sukan berlatih bagi mengelak prestasi terjejas kerana tempoh tiga bulan tanpa latihan khusus menjejaskan mereka dalam semua aspek biarpun berlatih sendiri.

Pada 7 Jun lalu kerajaan memberi kebenaran untuk latihan persediaan pasukan, aktiviti sukan yang tidak membabitkan sentuhan badan dan berkumpulan sepanjang tempoh PKP Pemulihan.

Sebelum ini, hanya atlet di bawah program Road to Tokyo dibenarkan menjalani latihan bermula 1 Jun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here