AKPK sedia khidmat nasihat bayar semula hutang

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bersedia memberi khidmat nasihat serta penjadualan semula hutang kepada individu yang berdepan masalah pembayaran hutang pascamoratorium.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat AKPK Mohamad Khalil Jamaldin berkata agensi itu bersedia membantu mereka yang masih terkesan dari segi kewangan apabila pelaksanaan moratorium tersebut tamat pada 30 September ini.

“Bagi golongan yang pendapatannya tidak terjejas tetapi memilih untuk menerima moratorium dijangka tidak mempunyai masalah untuk membayar semula pinjaman setelah tamat tempoh moratorium.

“Namun bagi mereka yang masih terkesan dari segi kewangan dan menempuh saat sukar, diseru agar mendapatkan bantuan awal dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing atau AKPK,” katanya dalam kenyataan hari ini.

AKPK turut menggariskan sembilan panduan bagi membantu mereka yang berkenaan membuat persediaan menghadapi cabaran kewangan pascamoratorium, antaranya bersedia dari segi mental dan emosi bahawa tiada lagi penangguhan bayaran selepas 30 September ini; tidak menunggu saat akhir dengan merancang awal pembayaran dan mengetahui ansuran bulanan terkini.

Mereka juga disaran menyemak semula kedudukan kewangan terkini; mengkaji semula bajet bulanan; menjana pendapatan baharu; mempelajari kemahiran baharu; meneroka pakej insentif Covid-19 dan tidak terjebak dalam skim penipuan kewangan.

Bagi mereka yang berminat mengetahui tip terkini pengurusan kewangan berhemat serta pembelajaran pengurusan kewangan dalam talian, bolehlah melayari laman sesawang power.akpk.org.my atau media sosial AKPK seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Bagi yang ingin mendapatkan bantuan, AKPK boleh dihubungi menerusi talian khidmat pelanggan 03-2616 7766 atau melalui laman web www.akpk.org.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here