RM1.5 juta barang seludup dirampas

Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas pelbagai barangan seludup berjumlah RM1.5 juta sejak mengambil alih penugasan daripada PGA 8 di sempadan Malaysia Thailand menerusi Op Benteng koronavirus (Covid-19) bermula 16 Mei lalu.

Rampasan itu merangkumi barangan kawalan bersubsidi, kosmetik, kontraban, pakaian, elektrik dan haiwan ternakan.

Bukan itu sahaja, dadah, daun ketum turut dirampas selain menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) sepanjang tempoh tersebut.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintanden Azhari Nusi berkata, terbaharu pihaknya berjaya merampas 5.1 tan minyak masak bersubsidi dan 10 tan tepung gandum dalam serbuan di Kampung Lubok Gong hari ini.

“Rampasan itu hasil kerjasama erat antara pihaknya bersama Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya pada sidang media di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di sini hari ini.

Menurutnya, rampasan tersebut membabitkan nilai berjumlah RM119,750 termasuk kenderaan yang digunakan untuk menyeludup.

Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan 1974.

Azhari mendedahkan, penyeludup sanggup menggunakan pelbagai helah termasuk laluan tikus, penyamaran dan sebagainya bagi mengelakkan dicekup pihak berkuasa meskipun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Tepung gandum seberat 10 tan turut dirampas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here