Penggerak projek rakyat

Penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia merupakan salah satu daripada halangan yang dihadapi keseluruhan sektor sejak setahun lalu.

Pelbagai projek yang dirancang seketika ketika pandemik itu melanda malah ada juga yang terpaksa dibatalkan  kerana menghadapi pelbagai rintangan terutama melibatkan ekonomi.

Masalah sama turut dihadapi Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam menyiapkan infrastruktur untuk kegunaan rakyat.

Namun dalam keadaan apa sekali pun, pihak kementerian berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan tanggungjawabnya dalam memberi khidmat kepada rakyat.

Menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) untuk pembangunan kontraktor kecil yang diterima sebanyak RM450 juta daripada kerajaan, segala projek yang sedang dipacu mampu bergerak seiring dengan sektor-sektor lain.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pandemik Covid-19 sememangnya memberikan satu impak dan cabaran besar buat kementeriannya.

Bagaimanapun, di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN), kementerian yang dikemudi olehnya mampu bergerak melaksanakan perkara-perkara yang dirancang agar dapat disiapkan dengan sebaik mungkin.

Katanya, peruntukan melalui PRE yang pertama sebanyak RM300 juta digunakan oleh KKR untuk melaksanakan penyelenggaraan jalan termasuk membaiki jalan-jalan rosak.

Manakala, sebanyak RM150 juta lagi menerusi PRE kedua digunakan untuk pembinaan bangunan, membaik pulih cerun dan jalan agar dapat dipastikan berada dalam keadaan yang sebaik-baiknya.

“Kita menggunakan peruntukan itu untuk penyenggaraan jalan persekutuan, cerun di jalan Persekutuan, bangunan gunasama Persekutuan dan kuarters.

“Seramai 962 kontraktor kecil menerima peluang kerja yang terdiri daripada kontraktor G1 hingga G4. Ia melibatkan sebanyak 1,056 projek dengan pencapaian kemajuan kewangan iaitu 94.6 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, bagi membantu dan memudahcara kontraktor yang terkesan akibat pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyediakan peruntukan sebanyak RM7 juta sebagai subsidi ujian Covid-19 personnel binaan asing berdaftar.

Katanya, subsidi berkenaan diperkenalkan bagi meringankan beban kewangan industri pembinaan tempatan dan menggalakkan majikan menghantar pekerja untuk mendapatkan ujian saringan.

Menurut Fadillah, KKR memandang serius pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di tapak pembinaan terutama dalam memastikan semua perkerja warga asing melalui ujian saringan Covid-19 sebelum memulakan kerja.

Langkah itu penting bagi membendung penularan pandemik tersebut di tapak binaan, ujarnya.

“Subsidi sebanyak RM50 seorang ini diberi untuk setiap personel binaan asing yang mempunyai pendaftaran personel binaan CIDB yang sah bagi menjalani ujian saringan Covid-19 yang diuruskan oleh CIDB Holdings Sdn Bhd melalui klinik panel tersenarai.

“Insentif CIDB ini dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu saringan di tapak pembinaan dan saringan secara pandu lalu menggunakan ujian RTK Antigen.

“Keputusan ujian saringan ini akan diperoleh dalam tempoh 30 minit dan kos sebenar ujian itu adalah sebanyak RM100 di mana bagi personel binaan asing berdaftar, RM50 akan ditanggung oleh CIDB.

“Manakala bagi personel binaan asing tidak berdaftar, caj penuh RM100 akan dikenakan,” jelasnya.

Tambah beliau, selain menggalakkan majikan menghantar pekerja mereka untuk mendapatkan ujian saringan Covid-19, subsidi itu juga dapat menggalakkan lebih ramai personel binaan yang tidak berdaftar untuk tampil mendaftarkan diri kepada CIDB.

Dalam pada itu katanya, apa yang lebih dekat dengan hatinya dan Perdana Menteri serta barisan anggota Kabinet ialah mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin.

Perkara itu sebenarnya membantu kontraktor G1 hingga G4, di mana peruntukan RM450 juta itu diberikan melalui konsesi dan syarikat kecil dilantik untuk melaksanakan projek.

“Maknanya, projek ini akan sampai ke akar umbi, sampai ke peringkat daerah untuk baiki jalan, kemas kawasan dan sebagainya. Walaupun RM450 juta itu bunyinya kecil, impaknya sewaktu pandemik begitu besar sekali kepada kontraktor G1 hingga G4. Ini sebenarnya dapat menggerakkan ekonomi di peringkat daerah,” tambah beliau.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, ketika bulan pertama PKP dilaksanakan, industri pembinaan mengalami kerugian kira-kira RM11.6 bilion.

Katanya, apabila sektor dibuka semula, kadar kerugian menurun dan jumlah keseluruhan sumbangan industri pembinaan kepada KDNK negara ialah sekitar empat peratus ketika ini.

Projek kerajaan yang sudah disiapkan sepanjang tahun lalu pula adalah bernilai RM78 bilion, jelas beliau.

Bagaimanapun, menjelaskan mengenai pelaksanaan PKP kedua, Fadillah berkata, kerugian industri mungkin tidak sebesar tahun lalu kerana industri pembinaan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh tersebut.

“Masalah ketika ini ialah tidak semua tapak bina beroperasi pada kapasiti 100 peratus. Berdasarkan 1,256 tinjauan dilaksanakan CIDB, 14 peratus industri pembinaan beroperasi pada kapasiti penuh, 10 peratus beroperasi pada kapasiti 75 peratus, 15 peratus beroperasi pada kapasiti 50 peratus dan 61 peratus beroperasi pada kapasiti 25 peratus,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here