APMM Pahang Gagalkan Cubaan Larikan Diri Bot Disyaki Nelayan Asing

Cubaan melarikan diri dua bot disyaki nelayan asing bersama dua tekong serta 26 kru selepas menceroboh perairan Pahang gagal apabila disekat aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Pahang dalam Op Kuda Laut sekitar 2.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata, kedua-dua bot berkenaan yang bernombor pendaftaran TG 98555 dan TG 95556 TS itu dikesan di kedudukan lebih kurang 33 batu nautika timur laut Pulau Tioman .

“Berdasarkan nombor pendaftaran, bot-bot berkenaan dipercayai adalah bot nelayan asing Vietnam.

 “Pemeriksaan ke atas kedua-dua bot menemui muatan sejumlah tiga tan hasil laut serta bekalan diesel sebanyak 3,000 liter.

“Kesemua tekong dan kru berumur lingkungan 17 hingga 50 tahun adalah warga Vietnam dan tiada memiliki sebarang dokumen pengenalan sah,” katanya, memetik kenyataan Maritim Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, keseluruhan barang rampasan (adalah) termasuk bot, peralatan menangkap ikan serta bekalan diesel beranggaran bernilai hampir RM2 juta.

 “Bot dibawa ke Pos Maritim Tanjung Gemok dan kesemua kru ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” kata kenyataan itu lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana memasuki dan menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pengenalan diri yang sah.

“Kesemua yang ditahan telah menjalani saringan COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here