Polis tahan lelaki, rampas dua laras senapang angin buatan sendiri

Polis merampas dua laras senapang angin buatan sendiri dan menahan seorang lelaki dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah rumah di Felda Lui Timur di sini, Selasa lepas.

  Ketua Polis Daerah Jempol Supt Mohd Khairiel Mohd Arif berkata lelaki tempatan berusia 45 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol bersama sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Khas, D9, Bukit Aman pada 4.45 petang.

“Pemeriksaan yang dijalankan di kediaman suspek mendapati dia menyimpan dua senjata disyaki senapang angin buatan sendiri. Suspek mengaku memiliki dua laras senapang angin untuk kegunaan sendiri bagi menembak binatang liar seperti biawak dan musang di kebun berhampiran kawasan rumahnya.

“Suspek juga memberitahu dia membeli senapang angin berkenaan daripada seorang lelaki warga Indonesia di Triang, Pahang, manakala satu lagi, diperoleh daripada seorang lelaki tempatan di kawasan sekitar.

“Dalam serbuan berkenaan juga, polis turut merampas satu bekas tin berisi 34 butir bebola besi, sebuah besi ‘valve’ kepala angin, sebuah pam angin warna kuning dan dua telefon bimbit,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata semakan mendapati suspek yang bekerja sendiri itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta negatif dadah menerusi ujian saringan air kencing yang dilakukan dan dia kini direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here