Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) semalam melancarkan aplikasi e-Lesen bagi memohon dan memperbaharui lesen dalam tempoh singkat.
Yang Dipertuanya Dato’ Zulkefli Khalid berkata permohonan membabitkan lesen pemilikan anjing dan 52 lesen tidak berisiko seperti premis menjual kasut, permainan dan roti.
“Bersesuaian dengan norma baharu, orang ramai hanya berurusan menggunakan telefon bimbit dengan permohonan (lesen) kurang 10 minit,” katanya selepas melancarkan aplikasi tersebut di ibu pejabat MPKj di sini.
Beliau berkata aplikasi yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play Store mulai semalam bakal diperluaskan kepada permohonan lesen perniagaan.