IWK RAIKAN PELANGGAN MELALUI PEMBERIAN PELBAGAI HADIAH

KUALA LUMPUR :

Dalam memberi semangat kepada orang ramai semasa tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menawarkan beberapa siri hadiah menarik untuk dimenangi.

Pelanggan kini berpeluang untuk memenangi hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM5,000.00 untuk dua pemenang bagi Peraduan Bayar dan Menang, yang sebelum ini menawarkan pakej percutian sebagai hadiah utama.

Pertukaran hadiah utama tersebut dibuat berikutan perintah kawalan pergerakan pemulihan dalam menangani penyebaran wabak COVID-19. Pusingan pertama peraduan bermula pada 1 Mac dan akan berakhir esok, manakala Pusingan Kedua akan bermula pada 1 Julai hingga 31 Disember 2020.

Pelanggan harus menyelesaikan bil perkhidmatan pembetungan yang tertunggak sebelum tarikh tutup peraduan bagi setiap pusingan dan hendaklah mendaftar dengan perkhidmatan e-bil IWK.

Pada masa yang sama, pendaftaran baru bagi e-bil mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2020 ini, pelanggan akan berpeluang untuk memenangi baucar Tesco bernilai RM50 setiap satu. Seramai enam ratus pemenang bertuah akan mendapat baucar tersebut di akhir kempen ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata, “Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kita semua telah terkesan dengan wabak COVID-19 dalam pelbagai cara. Sebagai syarikat pembetungan nasional, kami bertanggungjawab menjaga alam sekitar dan sistem pembetungan awam. Pemberian hadiah e-bil dan pertukaran pakej percutian kepada wang tunai bagi Peraduan Bayar dan Menang adalah antara pendekatan yang kami lakukan untuk menggalakkan pelanggan turut sama menjaga alam sekitar dengan membayar bil IWK mereka. ”

Tambah beliau, selain menyediakan perkhidmatan pembetungan sepanjang masa perintah kawalan pergerakan baru-baru ini, IWK juga bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang lain membuat sumbangan peralatan hospital yang penting kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bekalan makanan kepada komuniti yang tidak bernasib baik serta menyediakan perkhidmatan pengosongan tangki septik individu di pusat saringan Covid-19.

Sumbangan IWK kepada KKM berjumlah RM200,000 adalah berupa dua ventilator, dua katil unit rawatan rapi, dua monitor pesakit, 10 katil hospital, 500 pakaian pelindungan diri dan alat pendingin udara untuk pusat saringan.

Di samping itu, IWK juga memberikan sumbangan barangan keperluan asas bernilai kira-kira RM50,000.00 kepada golongan yang memerlukan serta menyediakan perkhidmatan pengosongan tangki septik individu percuma di pusat pemeriksaan COVID-19 seperti Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

“Kami juga berharap untuk mendapat sokongan pelanggan kami kerana caj pembetungan IWK adalah antara yang terendah di dunia. Walau bagaimanapun, kami terus berusaha dan memberikan perkhidmatan yang cekap untuk pelanggan kami. Komitmen kami bukan hanya untuk kepentingan alam sekitar dan kesihatan awam, malah kami ingin terus memberikan pilihan mudah kepada pelanggan untuk membayar bil mereka mengikut keselesaan mereka.

“Baru-baru ini, kami juga telah bekerjasama dengan Razer Merchant Services untuk membolehkan pembayaran di semua kedai 7-Eleven dan Razer Pay.

IWK turut menyediakan pelbagai cara pembayaran mudah melalui perbankan dalam talian, kaunter pembayaran dan e-wallets” tambah Wan Esuriyanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here