DBKL roboh 17 premis penjaja haram PPR Jalan Jelatek

Kuala Lumpur, Nov-
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan 17 struktur penjaja haram di sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek di sini, hari ini.

DKBL dalam satu kenyataan, berkata tindakan tegas itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor.

“Tindakan perobohan dijalankan selepas notis pemakluman selama 14 hari diberikan kepada penjaja haram untuk mengosongkan tapak.

“DBKL juga mengadakan sesi libat urus dengan Persatuan Penduduk PPR Jelatek dan beberapa siri bancian bagi mengenal pasti penjaja yang tidak aktif,” katanya.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata, tindakan perobohan terbabit bertujuan untuk memastikan aktiviti penjajaan haram tidak dibiarkan berleluasa.

“Ini sekali gus bertujuan memelihara imej dan reputasi Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang teratur dan bersih.

“Pihak DBKL ingin menegaskan mana-mana struktur penjaja haram di kawasan PPR akan terus dibendung bagi mengelakkan pencerobohan berulang dan memastikan kawasan perumahan adalah selesa untuk didiami,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here