Ketua Polis Johor, anggota terima ugutan

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengakui beliau dan anggotanya menerima ugutan apabila membongkar serta melumpuhkan aktiviti sindiket penyeludupan dadah dan imigran di negeri ini sejak akhir-akhir ini.

Beliau yang memulakan tugas sebagai Ketua Polis Johor pada 24 Februari lalu mendedahkan, ugutan juga datang dari negara jiran termasuk usaha pihak tertentu untuk mengambil tindakan terhadapnya.

“Jika mahu buka kertas siasatan kena pastikan siapa yang membuat ancaman. Macam tekong-tekong (penyeludupan migran) bersembunyi di Batam, Indonesia, dia dah lari ke sana. Kalau perlu tindakan, perlukan bantuan polis Indonesia dan insya-ALLAH kita akan buat.

“Ugutan bukan mudah untuk disiasat, dibuat melalui panggilan telefon, menghantar mesej menerusi WhatsApp dan Facebook atau media sosial lain. Bermacam-macam bentuk ancaman diterima,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ayob Khan mengulas ancaman yang diterima beliau dan pihak polis selepas melakukan beberapa operasi besar-besaran sehingga melumpuhkan 95 peratus kegiatan sindiket penyeludupan migran serta dadah di sempadan negeri ini.

Pada 4 Jun lalu, polis Johor menangkap 40 suspek utama yang menjadi dalang penyeludupan migran sekitar pantai timur Johor melibatkan ejen yang mengurus keluar masuk migran, menguruskan pengangkutan, tekong darat, tekong laut dan penjaga rumah penampungan.

Susulan itu 23 pegawai dan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua ditahan dari 13 hingga 18 Jun lalu disusuli serbuan pada 23 dan 25 Jun lalu kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran dan dadah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here