Jakarta, Jun-
Hasrat beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk melakar kejuaraan sulung di kejohanan bertaraf Super 1000 tidak kesampaian selepas tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China pada aksi final Terbuka Indonesia 2025 hari ini.
Dalam perlawanan sengit selama 87 minit di Istora Senayan, pasangan pilihan keempat dunia itu akhirnya terpaksa tunduk 25-23, 12-21, 19-21.
Pearly-Thinaah berjaya bangkit daripada ketinggalan 8-14 pada set pembukaan untuk meraih kemenangan 25-23 namun dominasi lawan pada dua set berikutnya menyaksikan pasangan negara gagal mengekalkan rentak.
Kini berada pada kedudukan keempat dunia dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Pearly-Thinaah beberapa kali cuba mendahului permainan namun pasangan China itu berjaya mengekalkan kelebihan sehingga ke penghujung.
Selepas perlawanan, Pearly menjelaskan, masih banyak ruang yang perlu dipelajari dan diperbaik untuk meningkatkan prestasi terutamanya penetapan minda (mindset) meskipun telah bermain dengan semangat tinggi.
Kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah sekali lagi bergelar naib juara di Jakarta selepas turut mara ke pentas akhir Indonesia Masters awal tahun ini.





















