Belalang gurun pada hari Sabtu menyerang Gurugram, sebuah bandar satelit ibukota India New Delhi, mendorong pihak berkuasa meminta orang ramai untuk menutup tingkap mereka dan memukul perkakas untuk menangkis kawanan yang cepat merebak.
Lapangan Terbang Antarabangsa New Delhi yang terletak bersempadan Gurugram turut menasihatkan juruterbang supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika berlepas dan mendarat kerana serangan belalang juta yang juga dikenali belalang gurun.
Difahamkan, Gurugram tidak pernah berdepan insiden seperti itu dan serangan belalang juta itu hanya berlaku di beberapa perkampungan di negeri Gujarat dan Rajasthan di utara yang berkongsi sempadan kawasan gurun di Pakistan.
Beberapa pengguna media sosial turut berkongsi gambar kejadian tersebut di Twitter, terdapat segelintir pihak mengkritik pemerintah kerana tidak menahan wabak itu.