Amirudin: Junjung mandat rakyat, elakkan sengketa, adu domba

Dato’ Seri Amirudin Shari mengingatkan pemimpin di Selangor supaya mengelakkan sengketa dan amalan mengadu domba sebaliknya menjunjung mandat rakyat.

Pengerusi KEADILAN Selangor berkata pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor teguh selama ini kerana terus memegang prinsip perjuangan dan agenda reformasi.

“Usah bazirkan masa kita dengan sengketa dan adu domba, perkara utama adalah menjunjung amanah dan mandat yang telah diberikan rakyat,” kata Dato’ Menteri Besar menerusi Facebook malam ini.

Melalui hantaran beserta video sempena episod kedua Jelajah Silaturahim Parlimen Ampang pada 21 Jun lalu, Amirudin berharap penduduk di situ terus mengekalkan kesejahteraan sedia ada.

“Kita kekalkan kesejahteraan ini dan pertahankan semangat negeri Selangor yang sentosa dan berbudaya,” katanya yang bertemu pelbagai lapisan penduduk untuk berbincang berbagai-bagai isu dalam program itu.

Peranan wanita dalam pentadbiran, penglibatan anak muda dalam kepimpinan parti dan negeri selain masalah setempat antara perkara yang disentuh dalam pertemuan berkenaan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan dekat di hati rakyat, jelajah ini memberi ruang buat saya menyantuni dan mendengar sendiri denyut nadi serta keluh kesah rakyat di negeri Selangor,” kata Amirudin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here