KPDNHEP Sibu rampas 532 kalkulator palsu

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sibu merampas 532 unit kalkulator dipercayai palsu dalam satu operasi ke atas sebuah kedai di sini, kelmarin.

Ketua Cawangannya Kelyn Bolhassan berkata, seorang wanita berusia 33 tahun turut ditahan berhubung kesalahan terbabit yang dilakukan di bawah Sekysen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

“Pihak kami telah merekodkan kenyataan suspek yang kemudian dibebaskan sementara kes dalam siasatan,” ujarnya pada sidang media di sini, petang semalam.

Kelyn berkata, sembilan anggotanya bersama seorang wakil syarikat Casio terlibat dalam serbuan ke atas kedai tersebut di mana kalkulator palsu itu dirampas di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019.

Menurutnya, suspek meletakkan cap perdagangan pada barang-barang itu yang bukan barang tulen tuan punya berdaftar atau pemegang lesen.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Manakala syarikat atau perbadanan yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, kementerian sentiasa bekerjasama dengan wakil cap dagangan untuk membanteras kegiatan penyalahgunaan cap dagangan berdaftar dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Dagangan 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here