LEBIH 400 PESERTA SERTAI HARI PERTAMA TEMUDUGA MAYA ‘VIRTUAL MINI JOB HUNT FOR PTPTN BORROWERS’

KENYATAAN MEDIA

KUALA LUMPUR –

Lebih 400 pencari kerja yang terdiri daripada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menyertai hari pertama sesi temuduga terbuka yang diadakan secara dalam talian menerusi program ‘Virtual Mini Job Hunt For PTPTN Borrowers’.

Mereka adalah antara 11,321 peserta yang telah berdaftar bagi sesi temuduga secara maya bertujuan untuk membantu para graduan khususnya peminjam PTPTN mendapatkan pekerjaan dalam pasaran buruh negara.

Virtual Mini Job Hunt yang berlangsung dari 30 Jun sehingga sehingga 3 Julai 2020, dimulakan dengan siri ceramah webinar selama 2 hari iaitu pada 30 Jun dan 1 Julai 2020 dan diikuti dengan sesi temuduga dalam talian pada 2 hari berikutnya.

Sesi temuduga maya para peminjam PTPTN yang bermula hari ini (2 Julai 2020) turut disaksikan oleh Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dato Sri’ Dr Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Puan Mastura Mohd Khalid dan pegawai-pegawai dari PERKESO dan PTPTN.

Seramai 20 majikan dari seluruh negara menyertai program ini dengan menawarkan 6,973 kekosongan jawatan. Sektor pemborongan dan peruncitan menawarkan kekosongan jawatan paling tinggi iaitu 4,868 kekosongan, diikuti sektor perkhidmatan dengan 623 kekosongan, sektor kewangan dan insurans sebanyak 480 kekosongan dan sektor pembuatan dengan 477 kekosongan.

Siri ceramah webinar yang diadakan pada dua hari pertama Virtual Mini Job Hunt ini mendapat sambutan yang menggalakkan, di mana 1,000 pencari kerja telah menyertai siri ceramah webinar yang telah disampaikan oleh penceramah berpengalaman mengenai kebolehpasaran pekerjaan seperti Kemahiran Insaniah dan persediaan menghadapi temuduga secara maya.

Virtual Mini Job Hunt ini adalah program kerjasama dua agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) iaitu PTPTN dan PERKESO.
Jalinan kerjasama di antara agensi di bawah KPT dan KSM ini diharapkan dapat memberi manfaat dan membantu peminjam PTPTN mendapatkan pekerjaan terutama di waktu yang sukar ini.

Pada masa yang sama, mereka boleh berdaftar dengan portal carian pekerjaan PERKESO, MYFutureJobs yang boleh membuat padanan yang lebih tepat antara pencari kerja dengan jawatan kosong yang terdapat dalam pasaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here