KPF sasar eksport nanas MD2 ke pasaran Eropah

 

Kulim Pineapple Farm (KPF) menyasarkan untuk mengeksport nanas MD2 ke pasaran Eropah pada tahun ini.

Pengurus Besar KPF Mohamad Yami Bakar berkata sebanyak 122 tan nanas MD2 melibatkan tujuh kontena telah dieksport ke negara China, Jepun dan Turki dari Januari hingga Mac lepas.

Katanya KPF dijangka mengeluarkan sebanyak 5,800 tan nanas segar pada tahun ini.

“Sebanyak 50 peratus daripadanya untuk pasaran tempatan, 30 peratus pasaran eksport manakala 20 peratus melalui proses pengeluar peralatan tulen (OEM),” katanya ketika berucap di Ladang Pusat Pengumpulan dan Eksport KPF di Ulu Tiram, di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Mohamad Yami berkata KPF komited untuk meningkatkan pengeluarannya melalui program penanaman nanas minimum lima hingga tujuh hektar sebulan yang telah bermula sejak awal tahun lepas.

Katanya program itu dijangka dapat menambah pengeluaran nanas secara konsisten pada masa depan.

Setakat ini, terdapat sebanyak 354.8 hektar tanaman nanas MD2 telah diusahakan secara komersial oleh KPF di Ulu Tiram dan Tanah Abang dekat Mersing.

Terdahulu, Kiandee menyaksikan aktiviti membaja nanas menggunakan Boom Sprayer di ladang tersebut.

Beliau turut menanam nanas sebagai gimik perasmian, melawat Melita Hut dan menyaksikan proses pengumpulan nanas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here