Sukma 2021: Wushu Selangor sasar satu emas kategori sanda

Skuad wushu Selangor menyasarkan satu pingat emas bagi kategori sanda (tempur) pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor tahun depan.

Jurulatih Chia Kian Keow berkata harapan meraih pingat disandarkan kepada Tan Xian Jun, 20, yang bakal beraksi bagi kategori 65 kilogram.

“Dia (Tan) memiliki potensi besar berdasarkan pencapaian mengungguli pingat perak pada temasya sama di Perak dua tahun lalu.

“Siapa pun pesaingnya, saya yakin dengan kematangan dimiliki, dia (Tan) mampu memikul tanggungjawab sebaik mungkin demi mengharumkan nama Selangor,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Kian Keow turut menaruh kepercayaan terhadap lima lagi atlet wushu dalam disiplin itu untuk mengutip sekurang-kurangnya satu pingat perak atau gangsa.

“Fokus saya kepada semua atlet sama sahaja, sebab itu saya meletakkan sasaran supaya mereka ada hala tuju dan tidak sambil lewa ketika berlatih.

“Setiap kali selepas latihan, saya berkomunikasi dan memberi suntikan motivasi kepada atlet. Saya mahu semua atlet sedar bahawa Selangor mengharapkan kejayaan daripada mereka, jadi peluang yang ada tidak boleh disia-siakan,” katanya.

Selain Xian Jun, atlet wushu Selangor bagi disiplin sanda ialah Tan Zi Pen (52kg), Tan Xian Wei (56kg), Ng Jet Yang (60kg), Thines Kumar (60kg) dan Teo Chun Wah (70kg).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here