Siasatan polis tidak kendurkan kempen tuntut Undi 18

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin menegaskan siasatan polis terhadap penganjur dan peserta perhimpunan di Jalan Parlimen, 27 Mac tidak mengendurkan kempen Tuntut #Undi18.

Beliau berkata, ratusan anak muda dengan kebanyakannya bukan ahli mana-mana parti politik tuntutan pelaksanaan segera kelayakan mengundi 18 tahun itu.

“Tidak (kendurkan kempen Tuntut #Undi18). Soal siasat ini hanya menjelaskan bahawa kerajaan tidak serius dalam memenuhi tuntutan agar Undi 18 dilaksanakan segera.

 “Mereka lupa bahawa himpunan yang lepas majoritinya adalah orang muda tidak berparti, turun dengan hasrat yang jitu menuntut hak yang telah diluluskan Parlimen,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Shazni yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional akan hadir memberi keterangan berhubung himpunan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 2.30 petang ini.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebenarnya bimbang dengan reaksi massa kerana banyak dasar yang dilaksana tidak menjaga kepentingan rakyat khususnya golongan muda.

Paling ketara, menurutnya, penguatkuasaan perintah operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilihat bersifat antara dua darjat dan seperti mengecualikan ‘kelas kayangan’.

“Banyak polisi mereka hanya menguntungkan VVIP yang rapat dengan kuasa, tapi merugikan rakyat terbanyak, khususnya orang muda.

“SOP boleh ubah suka-suka hati apabila kena batang hidung mereka, tapi tegas tanpa kompromi tatkala melibatkan orang biasa. Ini semua dilihat orang muda dan mereka tidak buat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan PN diterajui Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak perlu berdolak-dalik lagi sebaliknya melaksanakan segera pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18.

“Mesej ratusan orang yang hadiri himpunan tempoh hari hanya satu, laksanakan undi 18 segera.

“Jika ini pun tidak dipenuhi, Muhyiddin usah gatal-gatal mulut nak sebut orang muda bersama mereka. Geli,” sinisnya lagi.

Untuk rekod, jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas ialah seramai 5.6 juta orang dan 1.2 juta daripadanya berusia antara 18 hingga 20 tahun.

Bagaimanapun, dalam masa sama, seramai 4.4 juta orang berusia 21 tahun dan ke atas yang layak mengundi tetapi belum membuat pendaftaran sebagai pemilih.

Pada 25 Mac lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

SPR memberi alasan tempoh PKP bagi mengekang penularan Covid-19 secara tidak langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.

Pengumuman penangguhan itu susulan tuntutan beberapa pemimpin parti dari sayap pemuda daripada PH, BN dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menyatakan pendirian mengenai status undi 18 tahun.

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang mendakwa negara belum bersedia melaksanakan dasar undi 18 tahun.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat yang ketika itu dipengerusikan oleh Tan Sri Datuk Mohamad Arif Md. Yusof meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Kelayakan mengundi 18 tahun merupakan cetusan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertujuan meningkatkan pendidikan politik dalam kalangan anak muda sekali gus menyaksikan landskap politik negara ke arah pro anak muda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here