INDAH WATER LANCAR PERKHIDMATAN PENGOSONGAN LEMAK, MINYAK, DAN GRIS

PUTRAJAYA –

YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air telah melancarkan pengembangan perkhidmatan IWK yang baharu iaitu perkhidmatan pengosongan sistem perangkap lemak, minyak dan gris (Fat, Oil & Grease – FOG) kepada pemilik premis makanan, pengusaha restoran dan kedai makan serta operator medan selera.

Perkhidmatan baharu yang disediakan oleh IWK ini bukan sahaja dapat mengurangkan pencemaran FOG ke atas alam sekitar dan sumber air, malah dapat menangani masalah paip pembetungan yang tersumbat akibat pembuangan FOG secara tidak teratur. Usaha ini adalah selaras dengan Pelan Induk Teknologi Hijau atau Green Technology Master Plan 2017-2030 ke arah pelestarian alam sekitar.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, IWK memiliki kepakaran serta kelengkapan yang diperlukan dan bersedia untuk menawarkan perkhidmatan pengosongan sistem tangki/perangkap FOG kepada premis-premis yang menggunakan sistem tersebut di seluruh negara.

“Saya yakin dengan adanya perkhidmatan ini, IWK dapat memastikan semua FOG dirawat mengikut piawaian alam sekitar. Saya menyeru kepada operator-operator dan industri penyediaan berasaskan makanan supaya memastikan FOG diuruskan dengan baik dan teratur serta menggunakan perkhidmatan pengosongan FOG yang ditawarkan oleh IWK,” katanya ketika berucap melancarkan perkhidmatan berkenaan.

“Inisiatif ini merupakan salah satu aktiviti perniagaan baharu yang akan mempertingkatkan kemampanan kewangan IWK yang secara langsung dapat mengurangkan kebergantungan syarikat kepada subsidi Kerajaan. Saya percaya usaha ini dapat mengukuhkan kedudukan kewangan IWK untuk terus memberikan perkhidmatan pembetungan terbaik kepada semua rakyat Malaysia. Usaha IWK ini juga selari dengan tanggungjawab KASA dalam memastikan kedua-dua sumber utama ini diuruskan secara lestari,” tambah beliau lagi.

Turut hadir, YB Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad ,Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air dan YBhg Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha KASA.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata pengurusan FOG yang baik dapat mengurangkan risiko pengaliran FOG ke pengairan tempatan atau paip pembetungan yang boleh memudaratkan alam sekitar. “Kami mohon kerjasama daripada semua kedai-kedai makanan dan minuman, restoran, dan pusat membeli-belah untuk lebih bertanggungjawab dalam menguruskan pelupusan FOG,” tambah beliau.

Narendran juga memohon kerjasama operator-operator industri dan kontraktor-kontraktor yang menyediakan perkhidmatan berkaitan untuk berkolaborasi dengan IWK dalam menangani masalah pencemaran FOG.

Pada majlis ini juga, Tuan Ibrahim turut memperkenalkan secara rasmi akronim baharu Kementerian Alam Sekitar dan Air sebagai KASA bagi menggantikan MEWA yang digunakan sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here