TANGKAPAN DALANG PENIPUAN DANA PERKESO OLEH SPRM

KUALA LUMPUR –

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini mengesahkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 Julai 2020 berkaitan tangkapan tiga beranak yang disyaki menjadi dalang sindiket penipuan faedah PERKESO.

Tangkapan tersebut adalah hasil kerjasama di antara PERKESO dan SPRM di mana sindiket berkenaan telah dikesan mengemukakan tuntutan palsu ke atas faedah-faedah yang diuruskan oleh PERKESO di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Demi menjamin kebajikan Orang Berinsurans (OB), PERKESO komited dalam menguruskan permohonan tuntutan faedah OB yang layak dengan kadar segera dan mengikut sistem tadbir urus sedia ada. Walau bagaimanapun, jika terdapat permohonan yang mempunyai unsur penipuan, PERKESO tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan dengan melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Orang awam adalah diingatkan supaya tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang mengaku sebagai orang tengah kepada PERKESO dalam menguruskan sebarang permohonan tuntutan faedah. Pihak PERKESO sekali lagi menegaskan bahawa sebarang urusan dengan PERKESO adalah secara terus dan tidak perlu melalui mana-mana orang tengah. PERKESO tidak pernah melantik sebarang ejen atau orang tengah yang bertindak bagi pihak PERKESO.

Memandangkan pihak SPRM masih menjalankan siasatan terhadap tangkapan tersebut, sebarang kenyataan lanjut hanya akan dimaklumkan setelah siasatan selesai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here