Kerajaan Negeri menggunakan platform maya sebagai pendekatan baharu mempromosi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 susulan penularan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ekspo, seminar dan mesyuarat pelaburan berkaitan sidang itu akan dibuat secara dalam talian bagi menarik pemain industri berkongsi idea.
“Pada Belanjawan Selangor 2020, saya pernah mengumumkan kesinambungan SIBS dengan peruntukan RM11 juta.
“Pencapaian SIBS 2019 amat memberangsangkan selepas menarik 787 pempamer, 35,000 pengunjung selain potensi transaksi perdagangan bernilai RM450 juta,” katanya menerusi Facebook.
Susulan pandemik berkenaan melanda seluruh dunia, beberapa kelaziman terpaksa diganti dengan norma baharu termasuk amalan penjarakan sosial.
Program secara maya ini dilaksanakan bagi menggantikan promosi pelaburan dan perdagangan yang sebelum ini dilakukan melalui misi pelaburan dan penganjuran SIBS.
SIBS 2020 dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 17 Oktober depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang meliputi empat acara besar iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor, Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Persidangan Perniagaan Selangor-ASEAN serta Ekspo R&D dan Inovasi Selangor.